MERUDUM… Kemerosotan terburuk prestasi saham di Bursa Malaysia iaitu rekod paling teruk sejak Oktober tahun lalu telah menurunkan lagi penanda aras ekonomi negara secara keseluruhan.
Menurut laporan firma penyelidikan kewangan antarabangsa Bloomberg, indeks petunjuk utama Bursa Malaysia (KLCI FBM) jatuh satu peratus lewat semalam, menjadikan penurunannya sebanyak 11 peratus sejak dua bulan lalu.
Rekod kejatuhan tersebut sebenarnya merupakan penurunan selama sembilan hari berturut-turut dan ia berjaya menghampiri paras paling rendah yang pernah dicatatkan sejak kali terakhir sekitar Februari 2017 lepas.
“Pasaran saham Malaysia telah menjadi antara yang bursa paling buruk di dunia sejak April lalu, malahan ia sudah menyusut lebih daripada 10 peratus,” kata laporan Bloomberg itu yang dikeluarkan di ibu negara hari ini.
Pelabur asing kini sedang berusaha untuk menyesuaikan diri dengan corak pelik Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang konon berusaha menyelesaikan hutang negara sehingga menjejaskan sentimen pasaran tempatan.
Akibatnya sebahagian besar pelabur antarabangsa bertindak menarik keluar dana ekuiti setiap hari sejak berakhir Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu kerana tidak yakini imej kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).
Penganalisis bahkan telah mengurangkan unjuran pendapatan dan hasilnya Malaysia telah mengatasi Korea Selatan sebagai pasaran Asia Pasifik yang mencatatkan penurunan paling besar dalam unjuran keuntungan pada tahun ini.
“Tinjauan jangka pendek ekuiti Malaysia akan kekal sukar kerana kerajaan PH yang cuba atasi isu kewangan dengan lebih mendalam,” kata Pengurus Pelaburan Kanan Standard Life Investments, Christopher Wong di Singapura.
“Bagaimanapun, saya menjangkakan keadaan kemungkinan akan bertambah baik dalam jangka masa sederhana,” katanya tanpa memberi tempoh bilakah Bursa Malaysia dapat kembali stabil daripada kejatuhan berterusan ini.
Kaunter Telekom Malaysia Berhad (TM) mencatatkan kejatuhan terbesar semalam dengan menyusut sehingga 12 peratus ekoran kebimbangan terhadap potongan harga perkhidmatan jalur lebar diumumkan kerajaan PH kelmarin.
Sementara itu, seorang penganalisis firma perundingan tempatan, Areca Capital, Danny Wong turut berharap agar keadaan pasaran saham Malaysia kembali pulih pada masa akan datang daripada ketidaktentuan teruk ketika ini.
Pihaknya mengunjurkan peningkatan pendapatan pada separuh kedua tahun ini, di sebalik dasar baharu berkaitan pelaburan asing dan perbelanjaan kewangan rejim kerajaan PH yang berbeza daripada Barisan Nasional (BN).
Pelabur asing telah menarik keluar sejumlah AS$880 juta (RM3.5 bilion) daripada ekuiti tempatan bulan ini selepas bawa keluar AS$1.4 bilion (RM5.62 bilion) pada Mei, iaitu ketika PH menumbangkan BN untuk memenangi PRU.
Bursa Malaysia terus susut pada penutup dagangan semalam ekoran aktiviti jualan berterusan dan ketidaktentuan risiko membabitkan perang dagangan Amerika Syarikat (AS)-China selain faktor harga minyak mentah yang rendah.
Pada pukul 12.30 tengah hari, FBM KLCI susut di bawah paras kritikal 1,700 mata apabila kehilangan 18.47 mata kepada 1,691.28 mata; paras terendah pernah dicatatkan sejak 8 Februari 2017 apabila ditutup pada 1,688.50 mata.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.69 mata lebih tinggi kepada 1,710.44 mata berbanding 1,709.75 mata sewaktu ditutup pada Rabu dan berlegar dalam lingkungan 1,689.0 mata dan 1,710.71 mata sepanjang sesi dagangan awal.
Bagaimanapun indeks FBM KLCI lewat Khamis kemudian ditutup pada paras 1,692.32 mata, iaitu turun sebanyak 17.43 mata berbanding 1,715.36 mata yang berjaya dicatatkan pada petang Rabu.
Nilai ringgit juga merosot semalam apabila tukaran mata wang tempatan itu ditutup pada kadar RM4.0165 berbanding setiap dolar AS selepas ditutup pada kadar RM4.0020 kelmarin. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA