5 Pemimpin Negara Dunia Yang Meninggal Dunia Dalam Keadaan Menyedihkan

loading...

Ada pepatah yang mengatakan – untuk mengetahui kekuatan sebenar seorang lelaki, jangan dinilai bagaimana dia menghadapi kesusahan tetapi nilailah dia semasa dia mempunyai kuasa.

Pepatah itu ada kebenarannya, kerana kuasa yang dimiliki memang mampu membuatkan sesiapa saja jadi buta sehingga lupa diri dan prinsip yang selama ini kerap menjadi pegangan. Kuasa yang memakan diri juga akan mencipta musuh yang tidak disedari wujud dan itulah nasib yang menimpa ramai pemimpin dunia masakini.

Berikut adalah 5 insiden kematian melibatkan lima orang pemimpin dunia yang berakhir dengan cara yang sungguh sadis, membuktikan dalam situasi tertentu manusia akan hilang akal fikiran sehingga hanya mahu mengejar balasan terhadap perbuatan.

1. Nicolae Ceausescu (Romania)


Seorang pemimpin komunis, Ceausescu memerintah Romania dalam satu tempoh yang agak panjang daripada tahun 1965 sehinggalah dia digulingkan dalam revolusi yang berlaku pada tahun 1989. Revolusi itu bermula selepas satu tunjuk perasaan anti kerajaan yang berlaku pada Disember 1989 di Timisoara, menyebabkan Ceausescu mengeluarkan arahan untuk menembak mereka yang membantah.

5 hari berikutnya, pada 22 Disember 1989, pihak tentera Romania mula berpaling tadah dan menyokong gerakan tunjuk perasaan yang timbul, setelah melihat kekejaman yang dilakukan kerajaan Ceausescu. Tiga hari kemudian pada 25 Disember 1989, dalam cubaan untuk melarikan diri bersama isterinya menggunakan helikopter selepas dikepung penunjuk perasaan – Ceausescu berjaya ditangkap oleh pihak tentera. Dia terus dibicarakan dan dihukum atas kesalahan menyeleweng dan mengarahkan pembunuhan beramai-ramai, lalu berdepan hukuman ditembak mati oleh pasukan penembak.

Pada hari tersebut juga yang jatuh pada hari Krismas, Ceausescu dan isterinya memilih untuk ditembak bersama-sama. Didirikan di hadapan sebuah dinding dengan tangan terikat, suami isteri itu mati ditembak sekumpulan penembak mati seramai 3 orang. Kesemua penembak yang dipilih hanya diberitahu tugasan mereka adalah untuk menembak mati bekas pemimpin negara mereka pada saat-saat akhir.

2. Muammar Gadhafi (Libya)


Muammar adalah antara pemimpin paling lama berkuasa di dunia setelah berjaya mengambil alih pemerintahan Libya sejak tahun 1969. Berdepan dengan tekanan antarabangsa melalui pencerobohan NATO serta kebangkitan rakyat Libya yang mahu membebaskan diri mereka daripada pemerintahan Muammar, beliau melarikan diri tanpa berjaya dikesan berbulan lamanya setelah diburu pihak pemberontak.

Dalam satu cubaan melarikan diri bersama konvoi beliau selepas tempat asalnya Sirte jatuh ke tangan musuh, konvoi Muammar ditembak oleh tentera NATO yang menyebabkan mereka terpaksa melarikan diri dengan berjalan kaki. Cuba menyembunyinykan diri, Muammar cuba menyorok di dalam sebuah saluran longkang namun beliau berjaya ditangkap orang ramai yang ketika itu dahagakan darah.

Beliau diseret, dipukul dan dibelasah dengan banyak rakaman amatur memaparkan Muammar merayu kepada orang ramai supaya jangan mengapa-apakan dia. Rayuannya itu tidak diendahkan dengan dia dikerumuni orang ramai, sebelum individu-individu tidak dikenali menembaknya dikepala serta mencucuk duburnya dengan bayonet, yang menyebabkan kematian beliau. Selepas insiden itu, mayatnya dipamerkan bersama dua orang lagi sekutu beliau di bilik mayat bagi tatapan rakyat Libya buat kali terakhir sebelum disemadikan.

3. Aldo Moro (Itali)


Kisah Aldo Moro merupakan salah satu sejarah paling tragis yang pernah berlaku di Itali. Moro adalah seorang ahli politik dari parti Christian Democracy yang telah berjaya memegang jawatan Perdana Menteri Itali selama dua penggal, daripada 1963 hingga 1968 dan sekali lagi pada 1974 hingga 1976. Selepas menamatkan penggal keduanya, Moro terus memegang jawatan Presiden partinya, yang ketika itu masih memegang kuasa majoriti Parlimen Itali.

Dilihat sebagai penghalang kepada usaha parti Komunis Itali memegang kuasa atas tawarannya mahu mewujudkan kerjasama di antara partinya dan parti Komunis Itali, pengaruh Moro dilihat sebagai satu ancaman besar pada musuh politiknya. Pada 16 Mac 1978, Moro diculik semasa dalam perjalanan di Rom dengan dua orang pengawal peribadi Moro serta 3 pegawai polis yang menyusul kenderaan beliau turut sama mengalami nasib serupa. Ketika itu mereka dalam perjalanan untuk menyertai sidang tergempar Parlimen Itali.

Pihak penculiknya, kumpulan militan pro komunis yang dikenali dengan nama Red Brigades menuntut pembebasan 13 orang ahli mereka yang ditahan di Turin, sebagai syarat pembebasan Moro. Walaupun begitu kerajaan Itali menolak permintaan tersebut sebelum badan Moro dijumpai tidak bernyawa, dalam sebuah kereta di tepi jalan di Rom selepas ditembak di bahagian dada.

4. John F. Kennedy (Amerika Syarikat)


Lebih dikenali dengan nama JFK, beliau adalah Presiden Amerika Syarikat yang ke 35 memegang jawatan tersebut pada Januari 1961 sehinggalah hari dia ditembak mati pada November 1963. JFK ditembak mati oleh seorang bekas tentera Amerika Syarikat yang terpengaruh dengan ideologi Karl Marx, Lee Harvey Oswald yang ditahan lebih sejam selepas insiden itu berlaku.

Semasa kejadian itu berlaku, JFK sedang dalam perjalanan ke Texas yang ketika itu sedang mengalami krisis politik dengan lawatan beliau ke situ digembar-gemburkan kepada media, termasuklah laluan perarakan yang akan dilaluinya setelah tiba di Texas. Ini membuka peluang kepada Oswald merancang dengan teliti pelannya. Semasa melalui perarakan dengan orang ramai berdiri di tepi jalan bagi melihat sendiri JFK yang melambai pada orang ramai, tiga tembakan kedengaran tanpa menimbulkan suasana panik.

Hanya selepas satu tembakan tepat kepada kepala JFK yang menyebabkan kepalanya berkecai, barulah mereka yang berada di dalam kereta yang tidak berbumbung itu menyedari mereka sedang diserang pihak yang tidak diketahui kedudukannya. Oswald yang cuba melarikan diri berjaya ditahan selepas membunuh seorang lagi pegawai polis ketika polis tersebut cuba menahannya. Dua hari selepas insiden pembunuhan itu, Oswald mati ditembak ketika diiringi keluar semasa dibawa keluar daripada balai polis untuk dipindahkan ke penjara oleh seorang lelaki bernama Jack Ruby. Insiden tersebut secara tidak sengaja disiarkan langsung dalam saluran televisyen di Amerika Syarikat.

5. Benito Mussolini (Itali)


Pemimpin kepada parti National Fascist Party Itali, Mussolini adalah bekas Perdana Menteri Itali pada tahun 1922 sehingga tahun 1943. Di bawah pemerintahannya, Itali lebih mengamalkan pemerintahan berbentuk diktator dengan Mussolini memegang kuasa sepenuhnya terhadap dasar-dasar kerajaan, sebelum kegagalan beliau dalam perang dunia kedua menyebabkan Mussolini dijatuhkan melalui arahan Raja Itali ketika itu, Raja Victor Emmanuel III sebelum Mussolini ditahan.

Mendapat bantuan kerajaan Jerman menerusi Adolf Hitler, Mussolini diselamatkan sebelum membuka parti baru di utara Itali bernama Repubblica Sociale Italiana pada 1943. Bagaimanapun, karier baru beliau tidak bertahan lama. Selepas hilang kuasa, Mussolini dan perempuan simpanan beliau, Claretta Petacci cuba melarikan ke Switzerland namun berjaya ditangkap kumpulan penentang beliau.

Selepas dikurung beberapa hari, dua orang pegawai yang dtugaskan bernama Walter Audisio dan Aldo Lampredi mendapat tanggungjawab untuk mengambil Mussolini serta Petracci daripada tahanan di sebuah kawasan bernama Dongo. Kedua-duanya diarahkan berdiri di hadapan dinding sebelum ditembak mati di sebuah kawasan yang bernama Giulino di Mezzegra, pada 28 April sebelum mayat kedua-duanya dibawa dengan van ke Milan untuk dipamerkan pada orang ramai.

Tubuh Mussolini, Petacci bersama beberapa orang pengikut Mussolini digantung terbalik di bumbung sebuah stesen minyak, dengan orang ramai bebas untuk melakukan apa saja yang mereka mahukan kepada tubuh-tubuh yang tidak lagi bernyawa itu. (sumber: rilekslah.my)
loading...