Satu ketika dulu, format bahan bacaan majalah adalah sangat popular.
Ini kerana majalah didatangkan dengan bentuk yang mesra untuk dibaca, mempunyai paparan gambar, berwarna serta kerap kali memaparkan artikel dalam bentuk yang mudah difahami semua orang. Walaupun begitu, ledakan internet menjadikan format majalah semakin kurang diminati kerana populariti bahan bacaan berbentuk digital semakin meningkat.
Dengan begitu banyak majalah yang diterbitkan dalam pelbagai judul, pasti akan ada beberapa majalah yang kita tak sangka memang wujud. Ini lima majalah yang benar-benar diterbitkan yang kami ingin kongsikan pada anda kali ini.
1. PRO Magazine
Kami mulakan artikel ini dengan majalah paling kelakar yang disenaraikan. PRO merupakan singkatan kepada 'Portable Restroom Operator' atau 'pengendali tandas mudah alih' ! Nak tak nak, PRO merupakan sebuah majalah yang dipenuhi dengan artikel berkaitan segala pengalaman yang dilalui oleh pengendali-pengendali tandas bergerak di Amerika Syarikat, serta perkongsian tips ataupun berita terbaru berkenaan industri ini.
Apa yang mengagumkan, sekiranya kita membaca artikel yang dipaparkan, penerbit berjaya mengangkat kredibiliti pekerja industri ini. Sebagai contoh, dalam isu Jun 2018, seorang pengusaha menceritakan pengalaman beliau mengendalikan operasi tandas bergerak dalam acara terbesar di Amerika Syarikat iaitu NFL Super Bowl. Kisah-kisah inspirasi bagaimana pengusaha memulakan perniagaan tandas bergerak mereka juga menjadi kisah-kisah yang kerap dipaparkan dalam PRO.
2. TWINS Magazine
TWINS merupakan majalah yang memfokuskan kepada satu perkara unik saja yang berlaku dalam dunia - fenomena adik-beradik kembar. Rekod penerbitan mereka bermula sejak tahun 1984 dan sehingga kini masih aktif menawarkan ilmu pengetahuan kepada ibu bapa dalam menangani sebarang isu mempunyai anak kembar.
Berdepan kesukaran akibat penurunan jualan berformat majalah serta kemudahan internet yang semakin mudah diakses orang ramai, TWINS hampir menamatkan operasi mereka sebelum kembali diterbitkan dalam bentuk digital sepenuhnya. Sekiranya anda seorang adik beradik kembar atau ada kenal sesiapa yang kembar, beritahu mereka tentang majalah ini. Mana tahu mereka boleh jadi model muka depan.
3. 'Fashion Doll Quarterly'
Majalah fesyen 'Fashion Doll Quarterly' (FDQ) ini kelihatan seperti sebuah majalah biasa. Kelainannya, semua paparan wanita (atau lelaki) dalam majalah ini dibuat bukan menggunakan wanita betul, tetapi menerusi anak patung yang digayakan dengan fesyen-fesyen yang mahu ditonjolkan. Walaupun patung, penerbit tetap cuba mengeksploitasi keseksian patung-patung yang ada, memilih untuk meletakkan patung-patung itu dalam keadaan memberahikan.
Menjadikan fesyen sebagai fokus utama, FDQ turut sama memaparkan artikel-artikel berkenaan artis-artis di belakang pembikinan patung yang digunakan serta jurufoto yang menjadikan fotografi fesyen patung sebagai sumber rezeki.
4. 'Serial Killer Magazine'
Memulakan operasi sejak 2014, Serial Killer dipenuhi dengan kisah-kisah kehidupan dan latar belakang pembunuh-pembunuh bersiri yang pernah beroperasi di seluruh dunia. Mendabik dada sebagai salah satu rujukan paling lengkap bagi peminat kes pembunuhan bersiri, banyak maklumat menarik yang dipaparkan bukan setakat datang daripada pasukan penyiasat atau saksi kejadian, malahan wartawan mereka juga bersusah payah menemubual pembunuh bagi mendapatkan cerita sebenar bagaimana insiden itu dilakukan.
Menariknya, 'Serial Killer Magazine' bukannya satu penerbitan berbentuk murahan. Semua muka depannya direka menggunakan ilustrasi yang menarik memaparkan wajah pembunuh bersiri yang difokuskan untuk isu tersebut.
5. 'Girls and Corpses'
Kami letakkan majalah ini dalam senarai terakhir, kerana pada pandangan kami - ini adalah yang paling aneh antara semua majalah yang disenaraikan. 'Girls and Corpses' (G&C) adalah sebuah majalah yang mensasarkan golongan lelaki berikutan banyak paparan wanita dalam keadaan pakaian tak berapa cukup.
Namun yang membezakan majalah G&C dengan majalah-majalah lain seangkatannya adalah semua gadis yang dipaparkan dalam majalah tersebut, akan digandingkan dengan...mayat. Mayat betul. Bukannya boneka yang realistik tetapi memang tubuh manusia yang telah lama meninggal yang dibawakan khas dari seluruh dunia, untuk menjalani sesi pengambaran.
Mayat-mayat itu akan terus digunakan dalam tempoh yang sesuai sebelum disemadikan atau dibakar, mengikut persetujuan asal waris mayat terbabit. G&C dikatakan mirip majalah FHM atau MAXIM yang gemar mengeksploitasi wanita cuma G&C bukan sekadar menggunakan wanita, malahan mayat-mayat manusia bagi tatapan mereka yang berminat dengan 'benda-benda sebegini.
Dalam imej yang kami sertakan di atas, dua orang model lelaki dan wanita itu bergambar dengan janin bayi yang telah meninggal dunia. Kami hanya mampu menggelengkan kepala.' (iluminasi)