Nurul Izzah Anwar menafikan cakap-cakap beliau bakal berkahwin dengan Yang di-Pertuan Agong susulan undangan ke istana Kelantan. — Gambar Majalah Wanita
Nurul Izzah Anwar menafikan khabar angin beliau berkahwin dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Naib presiden PKR itu berkata spekulasi kononnya ada hubungan cinta mereka berdua tidak benar sama sekali, lapor The Star Online.
“Tolong abaikan berita palsu yang tersebar dari awal. Terima kasih – Marilah kita semua memberi tumpuan kepada kerja-kerja yang kita kena lakukan ― menyelamatkan ekonomi Malaysia,” katanya, kini ahli parlimen Permatang Pauh.
Sementara itu Harian Metro melaporkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terkejut selepas diajukan soalan anak sulungnya, Nurul Izzah Anwar bakal berkahwin dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tidak tahu dan menafikan khabar angin (gosip) anaknya, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh akan mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
“Astaghfirullahalazim (istigfar).. jangan dengar berita khabar angin. Tidaklah …,” katanya ketika sidang media Lawatan Ke Rumah Ehsan Warga Emas, Kuala Kubu Bharu, di Hulu Selangor, hari ini.
Sebelum ini, portal dan media tempatan melaporkan berita perkahwinan Naib Presiden PKR dan kerabat diraja Kelantan yang turut tular di media sosial.
Pada 24 Mei lalu, ibu bapa Nurul Izzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah menemui bonda Sultan Muhammad V, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid di Istana Mahkota di Kubang Kerian.
Lawatan itu yang pertama untuk Dr Wan Azizah ke Kelantan selepas diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri.