Sebelum PRU14, pelbagai kritikan dan hinaan yang dilakukan oleh pemimpin parti poltik kepada Tun Mahathir. Seolah2, mereka menidakkan sumbangan jasa negarawan yang telah berkhidmat kepada negara lebih dari 22 tahun. Namun, jangkaan mereka ini akhirnya memakan diri, termasuklah dari pemimpin PAS
KUALA LUMPUR: Tindakan kepemimpinan Pakatan Harapan untuk menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang diterajui DAP memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hanya mendatangkan lebih banyak masalah kepada negara.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, secara sinis mempersoalkan kewajaran pemilihan Dr Mahathir yang disifatkannya sebagai punca masalah negara untuk menggantikan Datuk Seri Najib Razak
“Mereka kata Datuk Seri Najib (Razak) pencetus masalah negara. Katakan ia betul, tetapi mereka memilih Dr Mahathir, punca segala masalah negara dulu sebagai pengganti.
“Ini nak selesaikan masalah atau nak rayakan masalah. Hari ni Pakatan Harapan penuh bermasalah kerana siapa, adakah kerana Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar (Ibrahim, Lim Kit Siang atau Mohamad Sabu.
“Jangan kata kerana PAS lagi, kalau kerana PAS, maknanya Pakatan Harapan terlalu rapuhlah. Satu lawan empat pun boleh goncang,” katanya.
Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga anak bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu turut menyalahkan penyokong Dr Mahathir yang dilabelkan sebagai `pemuja’ kerana mengheret Pengerusi Pakatan Harapan itu untuk terus memasang impian memegang tampuk kekuasaan untuk sekian kalinya.
Beliau berkata tindakan `pemuja’ Dr Mahathir hanya bersandarkan sejarah lampau untuk memaksa bekas Perdana Menteri itu terus aktif dalam politik negara.
“Pemuja Dr Mahathir terlalu naif kudrat sampai terus bertongkat dengan ilusi lampau. Mereka membosankan..,” katanya menerusi status dimuat naik di Facebook rasminya, hari ini.
Kemenangan Tun M bahayakan negara – Hadi Awang
JERTIH: Rakyat perlu menolak pakatan disertai Tun Dr Mahathir Mohamad kerana negara akan berada dalam bahaya, jika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dimenangi pembangkang yang bertanding menggunakan logo PKR itu.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata ini kerana pakatan disertai Dr Mahathir, tidak meletakkan Islam sebagai teras utama untuk mentadbir negara dan keadaan itu diburukkan lagi sikap rakan sekutunya, DAP, yang akan melakukan apa sahaja untuk melemahkan orang Islam.
Beliau berkata, rakyat mahu orang Islam memerintah negara ini dan tidak rela dijajah DAP yang akan menjadi mencatur utama jika pakatan itu berjaya membentuk kerajaan Pusat pada PRU ini.
“Dr Mahathir tidak meletakkan Islam dalam perjuangan parti berkenaan, sebaliknya bersekongkol dengan DAP dan parti Melayu tajaan DAP iaitu Parti Amanah Negara (PAN)
“Buat apa pilih Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, sedangkan sepanjang 22 tahun menjadi pemimpin negara, beliau banyak menimbulkan masalah kepada rakyat,” katanya ketika berceramah di PDM Kampung Cerang Meliling, dekat sini, petang tadi.
Hadi berkata, ketika zaman Dr Mahathir juga beliau menarik royalti minyak Kerajaan Terengganu yang ketika itu diperintah PAS.
Beliau mendakwa, ketika berkuasa juga, bekas perdana menteri itu banyak meninggalkan yang wajib, sebaliknya mengamalkan perkara sunat dalam pentadbiran negara.
Oleh itu katanya, rakyat akan rugi jika memilih pakatan pembangkang dipimpin Dr Mahathir untuk memerintah negara.
Hadi mendakwa, PAS kini mengambil jalan tengah dan tidak menyertai mana-mana parti politik termasuk Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya kali ini.
“PAS kini mengamalkan politik matang dan dan tidak agresif seperti dahulu kerana pemimpin yang agresif sudah meninggalkan parti,” katanya.
sumber: berita harian