Macam mana cara untuk elak jatuh hati pada tunang orang lain? Macam mana nak lupakan dia?Aku nak mengadu kat kawan takut kena bahan. Aku ada pegi jumpa ustaz, ustaz suruh buat solat taubat, istiqarah & sebagainya tapi setiap sujud, aku selalu ingat kat dia. Ni mainan syaitonirajim atau apa?
Aku lelaki belum berkahwin berumur awal 30-an. Berkhidmat untuk sebuah badan uniform. Baru baru ni datang sorang perempuan berseorangan ke tempat kerja aku untuk buat report berkenaan ugutan seorang anggota polis terhadap beliau. Anggota inkuari yang bertugas call bilik aku maklumkan berkenaan perempuan ni. Kes melibatkan salah guna kuasa anggota polis boleh dikira “panas”.
Dipendekkan cerita aku i.o yang bakal mengendalikan kes yg dilaporkan oleh perempuan ini. Aku jemput perempuan ini ke pejabat aku untuk beri keterangan. Pertama kali aku tengok dia, jujur aku jatuh hati. Aku tak pernah ada teman wanita, tak pernah jatuh hati pada wanita selama aku bekerja disini. Bukan tidak ada anggota polis wanita yg bujang di sini tapi aku tidak pernah terdetik untuk bercinta dengan mereka.
Namanya yang tertera di ic adalah Dyann. Nama yang seindah rupa, hidung mancung, bermata bulat, berkulit sawo matang, pandai berhias, bergaya. Masa aku dengar keterangan dia, sumpah aku hilang fokus. Riak wajah dia yang gelisah ketakutan, suara yang lembut diselang esak tanggis ibarat meminta pertolongan aku melindungi dia. Masyaallah, aku memang jatuh hati masa tu.
Aku tak pernah rasa perasaan mcm tu sebelum ni. Aku beri personal phone number aku pada Dyann & aku minta phone number dia agar mudah untuk dihubungi. Selepas 3 hari, aku hubungi Dyann & ajak dia berjumpa dengan alasan untuk ambil keterangan. Tapi aku tipu, aku rindukan dia. Aku ingin berbual dengan dia. Dyann datang berbaju kurung, bertudung litup berkasut tumit tinggi. Ukuran badan yang sangat menarik. Boleh dikatakan ukuran badan seperti Dyann adalah dambaan setiap lelaki. Masyaallah aku memang jatuh cinta dengan dia.
Aku mula menyoal hal peribadi Dyann. Jantung aku bagai direntap. Aku sangka aku sudah bertemu calon menantu buat ibuku. Tetapi Dyann sudah bertunang dan bakal bernikah pada bulan 12 ini. Aku balik ke rumah menangis sepuasnya. Aku tidak pernah menangis untuk wanita lain kecuali ibu. Aku menyiasat siapa tunangan Dyann. Rupanya seorang anggota pangkat rendah polis yang sedang berkhidmat di selatan tanah air. Dyann lebih sesuai dan layak dengan aku berbanding tunangannya.
Aku ingin meminang Dyann tapi berdosa jika meminang wanita yg telah dipinang orang. Setiap hari aku mencari alasan untuk berhubung dengan Dyann agar aku dapat mendengar suara dia. Aku dapat rasakan Dyann adalah jodoh aku. Nak berterus terang dengan tunang Dyann yang aku jatuh cinta dengan tunangannya. Dia kah jodoh aku? Jika aku salah jatuh cinta pada dia, apa cara yang aku boleh lakukan untuk lenyapkan dia dari ingatan?