Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii, memberi amaran kepada Pengarah Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh supaya berhenti mengeluarkan kenyataan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya, mahkamah sudah mengeluarkan arahan supaya siasatan 1MDB tidak dibicarakan di luar mahkamah sebelum perbicaraan.
“Jadi, kita tidak mahu beliau (Amar Singh) sibuk menceritakan mengenai hasil siasatan seperti senarai barang dengan nilai rampasan juta-juta atau sebagainya yang berkaitan dengan 1MDB dan digunakan media untuk menghukum Datuk Seri Najib Razak. Saya beri amaran kepada beliau.
“Semua ini perkara negatif dan tidak ada kebenarannya lagi, cuma hanya untuk membuatkan rakyat beranggapan negatif kepada Najib,” katanya kepada wakil media ketika pelancaran Tabung #FREENAJIB di hadapan kediaman bekas Perdana Menteri di Jalan Langgak Duta di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Sungai Acheh, Datuk Mahmud Zakaria dan Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim.
Mohd Razlan berkata, hukuman sama ada Najib bersalah atau tidak hendaklah ditentukan oleh mahkamah dan bukannya menerusi kenyataan yang bersifat negatif terhadap mantan Perdana Menteri itu.
“Biar mahkamah tentukan dulu sama ada Najib bersalah atau tidak.
“Jadi, saya ingatkan kepada beliau (Amar Singh) dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya tidak mengeluar kenyataan yang mewujudkan persepsi (bersalah) ini kepada Najib,” katanya.
Semalam, Najib didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan RM42 juta.
BACA: Ini Jawapan Balas Amar Singh Buat Penyokong UMNO Terus Terkedu