Isu pemakaian kasut hitam ke sekolah bermula tahun depan terus menjadi bualan hangat netizen dengan ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang membantahnya.
Malah keputusan tersebut turut mendapat teguran tokoh sosio budaya, Tan Sri Dr Rais Yatim yang berpendapat Kementerian Pendidikan sewajarnya lebih menitikberatkan soal disiplin pelajar.
“Apa pentingnya murid seluruh negara tukar kasut warna hitam. Tak ada hal ehwal yang lebih pentingkah.
“Bukankah soal disiplin sekolah lebih mustahak? Bukan kasut hitam,” katanya di Twitter.
Bagaimanapun, bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menerusi Twitternya dilihat senada dengan keputusan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung isu kasut hitam itu.
Malah, beliau turut meminta semua pihak supaya berlaku adil terhadap Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam.
“Perlu berlaku adil kepada @maszlee. Dia umum sewaktu forum dimana pelbagai isu disentuh tentang sistem pendidikan negara.
“Soal kasut bukan perkara utama tetapi Namun sebagai bapa kepada pelajar di sekolah kebangsaan, saya #TeamKasutHitam. Terbaik Menteri,” tulisnya.
Tulisan di Twitter Khairy turut dipenuhi dengan komen netizen yang juga menyokong #TeamKasutHitam bersama beliau.
Seorang pengguna Twitter @itsMeRTAA berkata:”Kan kan. Orang tak faham perasaan kena jaga kasut putih. Dengan ibu tunggal anak 5 macam aku ni. Tiap minggu basuh kasut 3 bulan lusuh koyak, hitam macam belacan walaupun basuh camana pun. Kesudahan kena beli baru sebab anak-anak malu kasut berlubang lunyai.
@AiditRahim berkata:”Saya bangkang kasut putih, kerana kurang praktikal dan mudah kelihatan kotor. Kasut hitam tetap memerlukan penjagaan minimal supaya kelihatan bersih dan tidak berdebu. Keperluan penjagaan kurang dua aspek: Tidak perlu kapur, tidak perlu sental kuat (tahan lebih lama).”
Bagaimanapun ada pengguna Twitter menyarankan agar undian manual dilakukan bagi mengetahui sama ada ibu bapa bersetuju atau tidak dengan pemakaian kasut hitam pada tahun depan.
@LiliSephia berkata:”Mungkin pihak sekolah patut buat undian pada ibu bapa pelajar setuju atau tidak tukar ke kasut hitam. Undi ‘manual’… undi di media sosial khuatir tidak telus. Dalam berita sebelum ini menyatakan perkara ini tercetus atas permintaan ibubapa para pelajar sendiri.”
sumber: mstar online