Tabung Solidariti Bebaskan Najib yang diwujudkan oleh Pemuda Umno Wilayah Persekutuan sudah pun mengumpul kutipan berjumlah RM86,282 setakat petang Jumaat.
Atas inisiatif itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Jasin, Datuk Zaleha Bujang turut mendapat inspirasi bagi membantu bekas perdana menteri itu.
Menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook, Zaleha, 60, menyerahkan seutas gelang emas miliknya untuk didermakan kepada tabung itu.
“Saya fikir tiba masanya ahli Umno berkorban. Kita tahu Datuk Seri Najib Razak teraniaya, jadi ini merupakan usaha kita untuk membantu beliau.
“Ini merupakan cara untuk mengenang jasa Najib. Dia nak jamin diri pun tak boleh sebab akaun bank dibekukan, jadi apa salahnya kita tolong.
“Gelang ini saya beli sekitar tujuh atau lapan tahun lepas. Walaupun sayang, saya ikhlas membuat sumbangan,” ujar Zaleha ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.
Selain gelang, Zaleha turut menyumbangkan sejumlah wang tunai untuk tabung berkenaan. Namun, dia tidak mahu mendedahkan jumlah sumbangannya itu.
Mengulas mengenai sumbangan barang kemas, dia mengambil pendekatan itu bagi mengikut jejak langkah kumpulan wanita zaman dahulu yang sanggup mendermakan barang kemas mereka dalam usaha menuntut kemerdekaan negara.
“Tiada simbolik apa pun di sebalik emas ni, cuma saya teringat peristiwa sewaktu menuntut kemerdekaan suatu ketika dahulu.
“Wanita-wanita menghulurkan barang kemas masing-masing untuk bantu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj. Saya fikir kenapa saya tak boleh buat begitu juga,” ujarnya.
Zaleha turut menggerakkan wanita-wanita di 89 cawangan Umno Bahagian Jasin untuk menyumbangkan sekurang-kurangnya RM100 bagi tabung berkenaan.