6 Makanan dan Minuman Yang Dicipta Secara Tidak Sengaja

loading...
Pernahkah anda terfikir bagaimanakah makanan kegemaran anda dicipta? Selain memasak makanan yang sedap, seorang chef yang berpengalaman juga biasanya membuat eksperimen untuk menghasilkan makanan atau hidangan baru yang sedap dan adakalanya sangat unik.

Walau bagaimanapun, dalam sejarah terdapat juga beberapa makanan atau minuman yang dicipta secara tidak sengaja. Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi senarai 6 makanan dan minuman yang dicipta secara tidak sengaja. Menariknya, sebahagian besar daripada kita sudah merasai makanan atau minuman yang disenaraikan ini.

1. Aiskrim batang atau "popsicle"


Sekiranya anda tidak tahu, "Popsicle" atau lebih mudah dikenali sebagai ais krim batang dicipta secara tidak sengaja pada tahun 1905 oleh seorang kanak-kanak berumur 11 tahun yang bernama Frank Epperson. Pada suatu hari, beliau merancang untuk membuat minuman soda.

Secara tidak sengaja, beliau tertinggalkan minuman tersebut di luar rumah. Kebetulan malam tersebut cuaca sangat sejuk sehingga menyebabkan minuman soda yang dibuatnya membeku. Keesokan paginya, beliau dapati kayu yang digunakan untuk mengacau minumannya itu sudah beku bersama minumannya itu.

Kemudian, beliau mengeluarkan minuman yang sudah keras itu dan mula menjilatnya. Frank Epperson menyukainya kemudian menamakan makanan tersebut sebagai Epsicle sempena namanya. Menyedari akan keunikan "Epsicle", beliau cuba menjualnya pada rakan-rakan dan jiran-jiran dan ternyata mereka menggemarinya. Pada tahun 1924, beliau telah memfailkan paten untuk makanan ciptaannya ini dan memberinya nama “Popsicle".

2. Biskut Cip Coklat


Sekiranya anda tidak tahu, biskut cip coklat dicipta oleh Ruth Wakefield secara tidak sengaja pada tahun 1930. Semuanya berlaku ketika beliau sedang menyediakan makanan untuk para tetamu yang menginap di rumah penginapannya yang dikenali sebagai Toll House Inn.

Ketika sedang membuat biskut untuk tetamunya yang sangat ramai itu, beliau baru tersedar tidak mempunyai bahan adunan coklat yang mencukupi untuk membuat biskut coklat. Beliau mendapat idea untuk memotong kecil-kecil dan meletakkan bar coklat yang ada ke atas biskut tersebut dengan beranggapan ianya akan cair dan mewujudkan rasa coklat apabila dibakar di dalam oven.

Malangnya, ketulan coklat yang diletakkan ke atas biskut tersebut tidak cair sepenuhnya dan membentuk cip coklat. Biskutnya ini digemari para tetamu dan semenjak itu mula popular dan tersebar ke serata Amerika.

3. Kon Ais Krim


Pada tahun 1904, Arnold Fornachou dan seorang chef telah mencipta kon aiskrimvsecara tidak sengaja. Ketika sedang berniaga pada musim panas, beliau telah kehabisan cawan plastik untuk menghidangkan ais krim yang dijual kepada para pelanggannya. Kebetulan, berdekatan tempat beliau berniaga terdapat sebuah kedai pastri yang menjual waffle.

Chef tersebut menunjukkan kepada beliau bagaimana hendak menggulung waffle tersebut menjadi sebuah kon. Sebaik sahaja waffle berbentuk kon itu siap, beliau meletakan ais krim di atasnya. Ternyata para pelanggannya menggemari idea tersebut.

4. Tofu


Terdapat beberapa teori yang menyatakan bagaimana Tofu dibuat. Antara kisah yang popular adalah bagaimana seorang tukang masak secara tidak sengaja tertumpahkan cecair bernama nigari ke dalam sebuah bekas berisi susu soya. Campuran tersebut menjadikan susu soya tersebut mengeras seakan-akan pepejal lembut.

Tukang masak tersebut telah menghidangkan makanan tersebut kepada pelanggannya. Menariknya, mereka sangat menyukai makanan tersebut. Menyedari akan hakikat tersebut, tukang masak tersebut terus menghidangkan makanan yang kini dikenali sebagai tofu kepada pelanggannya.

Kini, tofu sering dijadikan pengganti daging bagi golongan vegetarian. Malah, ianya juga banyak digunakan dalam pelbagai jenis juadah yang dihidangkan oleh orang Asia.

5. Slurpee


Slurpee merupakan minuman popular yang begitu sinonim dengan kedai serbaneka 24 jam, 7-Eleven. Sekiranya anda tidak tahu, minuman ini dicipta secara tidak sengaja oleh Omar Knedlik yang juga merupakan pemilik kedai ais krim Dairy Queen.

Pada suatu hari, kerana kerosakan pada mesin sejuknya, beliau terpaksa menyimpan minuman soda yang dijual dalam botol kaca di dalam tempat sejuk beku. Akibat terlalu lama, minuman tersebut menjadi sedikit beku tetapi masih lagi boleh diminum. Beliau menjual minuman soda ini kepada pelanggannya dan ternyata mereka menggemari keunikan tekstur minuman soda yang dijualnya.

Menyedari permintaan yang tinggi untuk minumannya ini, beliau melakukan pelbagai eksperimen dan mencipta mesin khas untuk menghasilkannya. Minuman ini pada awalnya diberi nama "Icee". Kisah bagaimana jenama "Icee" bertukar kepada "Slurpee" pernah kami tulis dalam artikel Sejarah Slurpee.

6. Kerepek kentang


Ketika menonton televisyen atau memandu dalam perjalanan yang jauh, kerepek kentang sering menjadi pilihan untuk menghilangkan rasa mengantuk. Tahukah anda, kerepek kentang ini tercipta secara tidak sengaja oleh George Crum pada tahun 1853.

Beliau merupakan seorang chef berpengalaman yang bekerja di restoran Moon’s Lake House. Pada satu hari, pelanggannya telah memesan hidangan berasaskan kentang goreng. Malangnya, mereka tidak begitu menggemarinya kerena merasakan kentang tersebut begitu tebal.

Beliau kemudiannya telah mengambil keputusan untuk memotong senipis-nipisnya kentang dan menggorengnya sehingga rangup. Selepas meletakkan sedikit garam sebagai penambah perisa, beliau kemudiannya menghidangkannya kepada para pelanggannya. Ternyata, mereka menggemarinya. Kini, kerepek kentang boleh dikatakan antara makanan ringan paling popular di dunia.

loading...