5 Budaya Sekolah Rendah di Jepun Yang Wajar Kita Contohi

loading...

Rungutan berkenaan sistem pendidikan di negara kita selalu kedengaran daripada semua pihak, bukan saja melibatkan keluhan ibu bapa malahan jugadatang daripada pihak guru dan pentadbir sekolah sendiri.

Penubuhan kerajaan baru di negara kita diharap dapat membawa satu dimensi baru pada sistem pendidikan negara kita, namun persoalannya adakah kerajaan baru mampu mengubah budaya yang telah lama dipegang masyarakat kita dalam hal berkaitan sekolah? Harus diakui tahap penerapan disiplin pada pelajar kita agak lemah.

Sekiranya anda ada masa, jenguklah ke kawasan sekolah dan saksikan sendiri bagaimana huru-haranya suasana sekolah ketika rehat, kehadiran dan kepulangan pelajar. Sangat berbeza dengan Jepun yang terkenal sebagai sebuah negara meletakkan disiplin di tahap tertinggi.

Kami berpendapat ada beberapa elemen-elemen yang negara Jepun telah amalkan sekian lama, wajar dijadikan ikutan dalam masyarakat kita bagi membentuk generasi masa depan kita yang mempunyai tahap disiplin tinggi.

Waktu persekolahan


Semua sekolah rendah di Jepun mengamalkan jadual waktu bermula daripada jam 8.15 pagi sehingga jam 3 petang, hari Isnin hingga ke Jumaat. Walaupun begitu, pihak sekolah diberikan kuasa untuk menentukan waktu tamat persekolahan setiap hari. Dilihat lebih panjang daripada waktu persekolahan di negara lain, realitinya banyak waktu rehat diberikan kepada pelajar sepanjang tempoh tersebut.

Kebiasaannya, akan ada satu sesi rehat untuk semua pelajar pada jam 10.15 hingga jam 10.35 pagi dengan makan tengahari beramai-ramai dijadualkan pada jam 12.10 hingga 12.55 tengahari, ditambah dengan 20 minit selepas itu untuk pelajar berehat atau bermain sehingga 1.15 tengahari.

Dalam tempoh setahun, pelajar sekolah rendah di Jepun menggunakan 210 hari atau lebih di sekolah, hampir setara dengan jumlah persekolahan di negara kita. Sebelum 2002, Jepun menggunakan sistem persekolahan enam hari seminggu dengan Sabtu pagi turut sama dijadikan hari persekolahan.

Pertukaran kepada 5 hari persekolahan di Jepun menyebabkan penurunan kepada prestasi murid berbanding sebelumnya, dengan kerajaan Jepun memilih untuk mengurangkan waktu bercuti tetap mereka serta menambah bilangan jam bagi meningkatkan semula pencapaian pelajar.

Silibus pendidikan sekolah rendah Jepun


Semua pelajar sekolah rendah di Jepun akan belajar 10 subjek teras iaitu Bahasa Jepun, Pendidikan Sosial, Matematik, Sains, Pendidikan Kehidupan, Muzik, Seni, Ekonomi dan Pendidikan Jasmani.

Sains dan Pendidikan Sosial hanya diajar pada untuk pelajar tahun 3 dan ke atas, dengan Ekonomi diajar pada poelajar tahun 5 dan 6. Bagi pelajar yang baru masuk tahun 1 dan 2, mereka akan mengambil subjek Pendidikan Kehidupan yang mengajar mereka kemahiran-kemahiran asas yang diperlukan dalam hidup dalam membantu mereka berdikari.

Pendidikan Moral dan Pendidikan Khas (berbeza dengan kita) merupakan dua subjek wajib bagi semua peringkat, dengan bahasa asing diperkenalkan hanya pada tahun 5 dan 6. Ekoran sayangnya mereka kepada bahasa sendiri, pelajar Jepun lebih banyak menghabiskan masa belajar sistem tulisan mereka (hiragana, katakana dan kanji) dan hanya belajar tulisan rumi pada tahun ke 4 persekolahan.

Sistem waktu rehat di Jepun


Berbeza dengan negara kita, sekolah-sekolah di Jepun menggunakan sistem yuran untuk makanan pada waktu rehat pelajar, dengan yuran sekitar RM142.50 sebulan dikenakan bagi pelajar sekolah rendah. Majoriti sekolah menyediakan sendiri makanan untuk pelajar namun ada beberapa daerah yang menggunakan sistem penyediaan makanan berpusat, di mana makanan akan dihantar setiap hari ke sekolah dengan trak.

Oleh kerana tidak ada kantin atau kafeteria di sekolah-sekolah Jepun, pelajar kebiasaannya bergilir-gilir mengambil tugas menghidangkan makanan yang telah disiapkan dan mereka menggunakan ruang bilik darjah mereka sendiri sebagai tempat makan. Ada juga sekolah memperuntukkan bilik-bilik khas atau dewan untuk pelajar makan beramai-ramai.

Menu makanan pelajar pula selalunya menghidangkan makanan ruji seperti roti, nasi atau mee bersama dengan satu jenis lauk, minuman seperti susu serta satu hidangan pencuci mulut.

Budaya di Jepun sangat-sangat mementingkan agar tidak ada makanan terbuang dengan tindakan disiplin akan dikenakan kepada pelajar yang gagal menghabiskan makanan mereka sehingga terbuang makanan tersebut.

Budaya Souji


Ada satu budaya yang dinamakan 'souji' atau 'kewajipan membersihkan' yang diamal serta dipupuk pada setiap pelajar sekolah rendah di Jepun. Setiap hari, semua pelajar akan diberikan masa 15 minit untuk membersihkan sekolah mereka dengan semua aktiviti ketika itu wajib dihentikan.

Pelajar akan disediakan dengan penyapu, mop dan baldi serta kain untuk membersihkan keseluruhan kawasan sekolah disertai juga oleh guru-guru dan pentadbir sekolah.

Apa yang mengejutkan - majoriti sekolah di Jepun tidak mempunyai pekerja yang dilantik untuk membersihkan kawasan sekolah. Hanya pekerja yang terlibat dengan penyelenggaraan sahaja diambil untuk bekerja dalam kawasan sekolah.

Oleh kerana tidak ada pekerja pembersihan, semua tanggungjawab membersihkan sekolah jatuh kepada ahli-ahli dalam sekolah itu sendiri. Kesemua pelajar tak kiralah tahap rendah atau menengah akan menyapu lantai sekolah setiap kali selepas makan tengahari serta sekali lagi sebelum mereka pulang.

Tugas untuk membersihkan cermin, mencuci bilik air serta mengosongkan tong sampah turut sama dipikul setiap pelajar, berdasarkan jadual yang telah ditetapkan lebih awal.

Renang sebagai satu aktiviti wajib


Tahukah anda, berenang merupakan salah satu aktiviti wajib bagi setiap pelajar di Jepun? Ekoran daripada syarat ini, majoriti sekolah rendah di Jepun mempunyai kolam renang sendiri dengan waktu khas akan ditetapkan sebagai kelas belajar berenang.

Setiap pelajar wajib memakai pakaian renang khas yang telah ditetapkan dengan ibu bapa wajib merekod dan mencatatkan suhu badan anak-anak setiap kali kelas renang diadakan. Bagi pelajar yang disahkan tidak sihat oleh ibu bapanya atau mungkin juga ibu bapanya terlupa, mereka langsung tidak akan dibenarkan menyertai kelas pada hari itu.

Semua pelajar akan melalui sesi ujian bergantung kepada tahun mereka belajar. Pelajar akan diberikan jarak-jarak tertentu untuk mereka harungi dengan berenang seperti 100 meter, 200 meter atau 400 meter. Mana-mana pelajar yang gagal akan diwajibkan hadir ke program khas sewaktu cuti, bagi membantu mereka mahir dalam kemahiran yang sangat penting ini.

Bagaimana? Begitulah berbezanya sistem pendidikan di Jepun jika dibandingkan bukan saja dengan negara kita, malahan dengan majoriti negara yang lain. Masyarakat Jepun sangat-sangat mementingkan budaya dan bahasa mereka, serta sangat menyanjung nilai moral serta disiplin yang tinggi.

Semua ini dapat dilihat dalam cara mereka menggarap sistem pendidikan rendah mereka, membentuk kerajinan serta semangat berpegang teguh pada prinsip dalam diri individu dan masyarakat mereka.

loading...