“Semua senarai barang dirampas sudah kita berikan kepada orang yang ada di rumah yang diserbu. Jadi, apa lagi dia (Datuk Seri Najib Razak) mahu?” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan bekas Perdana Menteri yang tidak memperoleh senarai barang diambil polis ketika serbuan dijalankan.
Amar Singh ketika dihubungi, berkata senarai penuh barangan serta wang tunai dirampas dari beberapa premis sekitar Putrajaya dan ibu negara sudah diberikan kepada penghuni semua tempat terbabit yang diserbu polis.
Katanya, ada antara senarai itu turut diberikan kepada pekerja premis yang diserbu polis bagi mencari bukti siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Semua senarai kita sudah berikan kepada tuan rumah. Jika ada pekerja, senarai itu kita serahkan kepada pekerja berkenaan.
“Ini membabitkan semua premis yang kita geledah bagi mencari bukti siasatan terhadap 1MDB,” katanya.
Semalam, dalam sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, polis mengumumkan nilai pasaran pelbagai barangan dirampas di premis dikaitkan dengan Najib antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.
Dalam sidang media itu, Amar Singh mendedahkan polis menemui 12,000 unit barang kemas terdiri daripada rantai, cincin, gelang, subang dan tiara dengan nilai pasaran mencecah sehingga RM880 juta.
Barang kemas paling mahal adalah seutas rantai emas bertatah berlian putih bernilai RM6.4 juta.
Turut diumumkan adalah nilai 272 beg tangan jenama Hermes yang bernilai RM51.3 juta yang mana ada antara beg tangan berkenaan bernilai RM1.6 juta sebuah.
Sebanyak 423 utas jam tangan pelbagai jenama yang dirampas pula bernilai RM78 juta, yang mana jam paling mahal adalah Rolex Paul Newman Daytona berharga RM3.5 juta, Chopard (RM2.5 juta) dan Richard Mille (RM1.6 juta).
Polis turut mengumumkan nilai sebenar wang tunai disimpan dalam 35 beg yang dirampas adalah RM116.7 juta.
Bagaimanapun, Najib dalam kenyataan semalam mempertikaikan nilai serta jumlah barangan diumumkan PDRM berikutan disifatkan sebagai tidak realistik selain harga sebenar bersifat subjektif.