Walaupun hujan lebat membasahi kawasan lapang dekat SMK Sungai Pusu,Gombak ia tidak melunturkan semangat ribuan pesilat yang menyertai himpunan raksaksa bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak petang Ahad.
Mereka yang datang dari serata negara tidak berganjak untuk mendengar amanat beliau di situ selari dengan semangat kepahlawanan Melayu.
Kebetulan Perdana Menteri diketahui amat dekat dihati dunia persilatan negara kerana ambil berat dan sering menghadiri acara anjuran mereka.
Apa lagi Najib yang membahasakan dirinya sebagai ‘Pendekar Bugis’ pada majlis itu kata beliau cukup teruja dengan himpunan itu hingga meremang bulu romanya.
“Jangan main-main dengan Pendekar Bugis… siapa nak carik-carik maruah orang Bugis tunggu balasannya nanti,” katanya pada awal ucapan yang disambut tepukan gemuruh.
Himpunan anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) adalah simbolik soladiriti dunia persliatan Melayu pada Perdana Menteri.
Turut hadir pada majlis itu Presiden Pesaka Tan Sri Mohd Ali Rustam,Mahaguru Muda Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia Datuk Megat Zulkarnain Omardin serta lebih 460 perguruan silat.
Tanpa menyebut nama sesiapa Perdana Menteri menyentuh mengenai gelagat seorang bekas pemimpin yang kini berusia 93 tahun yang dianggapnya sudah lupa pada prinsip dan janjinya sendiri.
“Kini berpakat pula dengan DAP, parti yang dulu beliau cukup benci serta musuhi. Soalnya siapa nak mempertahankan pesilat dan dunia persilatan. Soal itu tuan puan fikir siapa, sebelah sini atau sebelah sana,” katanya.
Najib berkata walaupun orang Melayu hari ini memegang tampuk kekuasaan negara, namun dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan, setiap lima tahun kuasa itu perlu dikembalikan kepada rakyat.
Sambil berkata ‘ jika ada senjata ditangan jangan biar orang lain rampas’ beliau menegaskan tidak sekali-kali akan menyerah.
“Kerajaan ini kita pertahankan,”katanya.
Dalam ucapan itu Perdana Menteri menzahirkan rasa kagum dengan prinsip kesetiaan atau wala’ kepada pemimpin yang diamalkan dalam dunia seni persilatan yang seharusnya diterapkan dalam pertubuhan lain termasuk politik.
Katanya, prinsip penting dalam dunia seni bela diri itu jika diamalkan akan membantu dalam perjuangan dan kemenangan terutama dalam pilihan raya.
“Kalau kita wala’ dan setia, kita tidak akan bergaduh antara satu sama lain, kalau kita wala’ dan setia, arahan pasti akan kita penuhi, kalau kita wala’ dan setia tiadalah sikap seperti boikot dan menembak kaki sendiri, sabotaj dan lain-lain lagi.
“Bila saya tuntut wala’ daripada anda semua ia bukan atas nama Najib Razak tetapi atas jawatan sebagai pemimpin utama negara Malaysia yang tercinta,” katanya.
Beliau juga mengumumkan berita gembira untuk dunia persilatan negara.
Katanya kerajaan setuju untuk membina sebuah Kompleks Silat Negara di Kuala Lumpur dan lokasinya akan dirunding kemudian.
Menurut Najib komplek itu akan menjadi pusat pertubuhan itu menjalankan aktiviti selain meningkatkan martabat seni bela diri rasmi negara itu.
Beliau juga mengumumkan akan meluluskan geran tahunan kepada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) untuk digunakan pertubuhan itu bagi menjalankan aktiviti selain menjaga kebajikan guru dan pesilat di bawah naungannya.