Apakah negara ini sudah teruk hingga terpaksa meminta derma dari rakyat?

loading...

Kerajaan Pakatan Harapan baru sahaja mengambil alih pemerintahan negara kira-kira tiga minggu yang lepas, tetapi sudah meminta derma dari rakyat atas alasan membantu kerajaan menyelesaikan hutang negara, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman.

Sedangkan, beliau berkata, kerajaan sebelum ini telah meletakkan negara ini dalam keadaan ekonomi yang kukuh dan stabil sebelum pembubaran parlimen.

ADUN Permatang Berangan tersebut berkata, membuat Tabung Harapan Malaysia adalah suatu tindakan tidak patut.

“Dalam tempoh tak sampai sebulan ambil alih tampuk pemerintahan, kerajaan baru dah terpaksa minta derma dari rakyat, alasannya untuk bantu kerajaan bayar hutang.

“Suatu yang pelik dengan apa yang berlaku, laporan IMF menyatakan ekonomi negara amat baik dan sedang menuju untuk mencapai negara berstatus pendapatan tinggi.

"Berdasarkan laporannya, pertumbuhan negara pada 2017 adalah sebanyak 5.8 peratus dan unjuran untuk 2018 adalah dijangkakan 5.3 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Tabung Harapan Malaysia yang ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk menerima dana daripada rakyat.

Nor Hafizah berkata, kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya mengambil langkah lain bagi menyelesaikan masalah tersebut kerana mereka ada penasihat ekonomi yang dikatakan berwibawa dan terkenal dalam hal ehwal ekonomi.

"Rakyat seharusnya tidak dibabitkan dalam permasalahan yang berlaku.

"Ianya harus menjadi tanggungjawab kepada kerajaan sedia ada menangganinya dan bukannya mencari jalan mudah dengan meminta derma," ujar beliau.

Tambah beliau, jika sebelum ini, kerajaan Barisan Nasional memberi pelbagai sumbangan dan bantuan untuk rakyat seperti BRIM dan persekolahan.

Tetapi malangnya, katanya, ramai yang menuduh pemimpin sebelum ini makan duit rakyat meskipun sentiasa memikirkan apa yang terbaik dan menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka.

“Kenapa kali ini rakyat berdiam diri apabila kerajaan sekarang membawa ‘tin milo’ secara terang-terangan untuk mengutip derma.

"Apakah negara ini sudah teruk hingga terpaksa meminta derma dari rakyat,” katanya.

Nor Hafizah juga turut menyelar kerajaan sanggup berbelanja besar menyediakan siaran langsung perlawanan Piala Dunia di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan dalam masa sama meminta rakyat menyumbang untuk membantu melangsaikan hutang negara.
loading...